Isnin, 21 Januari 2019 | 5:01pm
Antara kotak berisi 50 karton rokok yang dirampas PGA Briged Tengah ketika rondaan di Sungai Kampung Sawah, Banting, Selangor, malam tadi. - Ihsan PGA

Cubaan seludup rokok gagal

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 36 kotak rokok selepas tindak tanduk mencurigakan dua lelaki dikesan oleh Pasukan Risik Batalion 4 di Sungai Kampung Sawah, Banting, Selangor, malam tadi.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Tengah, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata kegiatan dua lelaki terbabit terbongkar ketika Pasukan Risik Batalion 4 membuat rondaan di kawasan berhampiran sungai berkenaan pada jam 11.30 malam tadi.

“Ketika rondaan, anggota ternampak kelibat dua lelaki sedang mengangkat sesuatu daripada sebuah bot di sungai berkenaan, anggota terbabit kemudian cuba menghampiri dua lelaki itu, namun kedua-duanya melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui 36 kotak yang mengandungi 50 karton rokok di dalam setiap kotak, yang dianggarkan bernilai RM108,000, semua kotak rokok berkenaan dirampas mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Ghani berkata, pihaknya menahan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India di Selangor dan Johor bagi tempoh 1 Januari sehingga hari ini.

“Mereka yang berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan dalam lapan siri serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan di kawasan tanggungjawab Operasi Nyah (Op Nyah) 1 Selangor dan Johor.

“Antara lokasi terbabit adalah di sebuah rumah di Taman Emas Merah, Pekan Nenas, Johor yang disyaki dijadikan lokasi transit PATI.

“Selain itu, kita turut mengesan helah digunakan sindiket yang menggunakan van pelancongan untuk membawa PATI di Jalan Besar berhampiran Pos Tanjung Layang, Pulau Carey, Selangor.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Berita Harian X