Selasa, 22 Januari 2019 | 1:24pm
Jenazah bayi mangsa dera Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu. - Foto BERNAMA

Reman pengasuh dera, bunuh bayi disambung

SIBU: Mahkamah Majistret Sibu menyambung tempoh reman tujuh hari lagi terhadap suspek kes dera hingga membawa kematian seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah jagaannya.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad, mengeluarkan perintah reman berkenaan bermula hari ini hingga 28 Januari, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek wanita berusia 39 tahun itu.

Rabu lalu, pengasuh berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera hingga membabitkan kematian mangsa, Aariz Harraz Zahin.

Bayi itu meninggal dunia di Hospital Sibu, 13 Januari lalu ketika menjalani rawatan selepas disahkan ‘mati otak’ akibat kecederaan dialaminya.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek kemudian ditahan polis susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa sebelum mendedahkan dia menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis selain tertekan dengan mengalami kesakitan akibat haid.

Berita Harian X