Selasa, 22 Januari 2019 | 4:49pm
Muhammad Izzat (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Muhammad Izzat (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Pelajar terlepas tali gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut tahun akhir sarjana muda sebuah universiti di negeri ini menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan ke atasnya dipinda di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan selepas tertuduh, Muhammad Izzat Sharifuddin, 24, mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak timbalan pendakwa raya daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah.

Keputusan itu dibuat Abdul Wahab selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram di sebuah rumah di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, jam 10.20 pagi pada 11 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta 234 yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X