Selasa, 22 Januari 2019 | 6:47pm
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kanan); Ketua Pegawai Komersial CCM Duopharma Biotech Berhad, Billy Unudra (kiri); Pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin (dua dari kiri) dan Pengurus Besar CCM Pharmaceuticals, Shamsul Idham Ahmad pada pelancaran Kempen OP Selamat 14 Tahun Baru Cina 2019 di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Polis KL tumpu 10 lokasi panas dalam Op Selamat 14

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan memberikan tumpuan pengawasan terhadap 10 laluan atau lokasi panas yang dikesan kerap berlaku kemalangan sepanjang tempoh Op Selamat 14, yang bermula 29 Januari hingga 12 Februari.

10 laluan berkenaan adalah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata seramai 13 pegawai dan 186 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawasi kelancaran keadaan lalu lintas serta keselamatan.

“Statistik tahun lalu menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan maut berbanding 2017 disebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Justeru Polis Kuala Lumpur akan memberikan tumpuan kepada kesalahan seperti memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, potong barisan dan langgar lampu isyarat,” katanya selepas melancarkan Kempen Op Selamat 14, Tahun Baru Cina 2019, peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata Polis Kuala Lumpur siapsiaga dan komited dalam memastikan keselamatan dari segi jenayah dan lalu lintas sepanjang Op Selamat 14 ini.

“Kami juga akan memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan oleh mereka yang pulang ke kampung halaman dengan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan.

“Orang ramai diminta mengisi borang ‘Balik Kampung’ yang disediakan di setiap Balai Polis bagi memudahkan polis membuat pemantauan dan rondaan ke kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Selain mengisi borang, orang ramai boleh menghantar makluman balik kampung melalui aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP).

Sebelum ini pada Op Selamat tahun lalu, jumlah kemalangan mencatatkan peningkatan iaitu 2,586 kes berbanding tempoh Op Selamat pada 2017 dengan 2,363 kes.

Selain itu jumlah saman yang dikeluarkan juga turut mencatat peningkatan dengan 25,757 saman dikeluarkan pada tahun lalu berbanding 23,302 saman dikeluarkan pada tahun sebelumnya.

Dalam Op Selamat 14 kali ini, Polis Kuala Lumpur, berkolaborasi dengan syarikat CCM Duopharma Biotech Berhad serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain dalam usaha mempertingkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya serta penghuni yang akan meninggalkan kediaman di musim cuti perayaan.

Dalam menjayakan kempen ini, pelumba MotoGP terkemuka Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah, dilantik menjadi ikon untuk Kempen Keselamatan Balik Kampung Bermotosikal Proviton serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Berita Harian X