Rabu, 23 Januari 2019 | 12:56pm
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah. - Foto Abdullah Yusof

Polis sahkan terima laporan kakitangan Pejabat Hutan Raub salahguna kenderaan

CAMERON HIGHLANDS: Polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada kakitangan yang juga pemandu Pejabat Hutan Raub, yang mempertahankan tindakannya menyerahkan kenderaan Pejabat Hutan Raub kepada Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Tengku Raja Puji.

Isnin lalu, viral di media sosial kenderaan milik Pejabat Hutan Raub digunakan Timbalan Menteri berkenaan untuk tujuan berkempen.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah, berkata, laporan itu diterima pada jam 4.50 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

"Kes ini dirujuk kepada laporan awal berkaitan kes dan laporan ini juga dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam laporan polis yang dibuat pemandu terbabit, dia mendakwa sudah memberitahu Timbalan Menteri berkenaan bahawa kenderaan Pejabat Hutan Raub tidak boleh digunakan untuk tujuan kempen.

Bagaimanapun, dalam laporan berkenaan, Timbalan Menteri terbabit didakwa berdegil dan meminta kenderaan berkenaan diserahkan kepada pembantunya bagi tujuan mengambil peralatan muzik tradisional di kampung bersebelahan yang jaraknya kira-kira satu kilometer.

Pemandu berkenaan dalam laporannya berkata selepas satu jam, pembantu Timbalan Menteri terbabit kemudian menyerahkan semula kenderaan dan memaklumkan kenderaan berkenaan ditahan penyokong Barisan Nasional (BN) dan menafikan kenderaan berkenaan dipandu olehnya.

Berita Harian X