Rabu, 23 Januari 2019 | 2:41pm
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukan barang kemas dan duit yang dirampas pada sidang media di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samuntin

Menyamar wanita di WeChat sebelum samun

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki disyaki menyamar sebagai wanita dengan menggunakan aplikasi WeChat bagi memperdaya seorang lelaki sebelum menyamun mangsa.

Keempat-empat suspek berusia 21 hingga 27 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar bandar raya ini dalam tempoh 24 jam selepas disyaki melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati mangsa berusia 23 tahun berkenalan dengan ‘seorang wanita’ melalui WeChat sebelum mereka membuat temu janji berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini pada jam 3 pagi, 15 Januari lalu.

“Pada masa yang dijanjikan, ketika mangsa menunggu wanita itu tiba-tiba empat lelaki menghampirinya lalu berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudian memukul mangsa dan mengambil wang tunai serta kad bank mangsa dengan kerugian dianggarkan RM1,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum membuat laporan polis.

“Berdasarkan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menahan seorang suspek di kawasan stesen minyak di Kampung Air di sini, jam 10.30 pagi, pada hari sama.

“Soal siasat ke atas suspek itu membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit di sekitar bandar raya ini.

“Polis turut merampas telefon bimbit digunakan suspek serta sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operasi suspek iaitu menyamar sebagai wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mengajak mangsa berjumpa dan menyamunnya.

“Dengan tertangkapnya keempat-empat suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes membabitkan penipuan menyamar sebagai wanita sebelum menyamun mangsa. Semua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Berita Harian X