Khamis, 24 Januari 2019 | 3:36pm
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Ahmad Sukri Mohamad Taib pada sidang media di Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kakitangan Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDC) Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di PESDC, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

SPRM giatkan penerangan penguatkuasaan liabiliti korporat

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai pelaksanaan undang-undang liabiliti korporat yang mewajibkan syarikat menyelaraskan prosedur berkaitan langkah pencegahan rasuah.

Timbalan Pengarahnya, Ahmad Sukri Mohamad Taib, berkata usaha itu bagi memberi pendedahan kepada semua syarikat yang tertakluk dengan Akta Syarikat 2016 mengenai penguatkuasaan undang-undang berkenaan yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menurutnya, undang-undang liabiliti korporat yang bakal dikuatkuasakan itu adalah mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) yang menumpukan lebih kepada sektor swasta.

“Sekarang adalah tempoh bagi syarikat menyelaraskan prosedur mereka berkaitan langkah pencegahan rasuah, namun ini dilaksanakan secara berperingkat dan SPRM sedang giat memberi penerangan mengenainya.

“SPRM perlu turun padang beri taklimat dan kena buat program Pengukuhan Integriti yang merangkumi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) yang perlu dilakukan setiap syarikat dalam usaha membendung rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis IBR Kakitangan Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDC) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 30 kakitangan PESDEC diketuai Pengurusnya, Mohd Fadzi Ahmad Sapli dan disertai pengurusan tertingginya iaitu Bendahari, Tan Seow Heng serta Ahli Lembaga, Tony Cheam Swee Aik, melaksanakan IBR.

Ahmad Sukri berkata pihaknya juga menerima permohonan daripada mana-mana syarikat atau pihak yang ingin mendapatkan penerangan lanjut mengenai penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

“SPRM bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam usaha memberi penerangan dan pelaksanaan prosedur berkaitan langkah pencegahan rasuah yang perlu dilakukan syarikat berkaitan manakala dari segi CRM pula ia dijalankan peringkat ibu pejabat di mana terdapat modul tertentu perlu dilaksanakan oleh syarikat,” katanya.

Menurutnya, program IBR adalah antara inisiatif dalam persediaan pelaksanaan liabiliti korporat walaupun ia bukan satu kewajipan.

“IBR diperkenalkan sejak 2017, namun ia bukanlah satu paksaan atau wajib dilaksanakan dan terpulang kepada mana-mana agensi, sektor swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melaksanakannya.

“Tetapi apabila ia dilaksanakan, terutama bagi sektor swasta, ia termasuk satu daripada inisiatif ke arah persediaan penguatkuasaan liabiliti korporat pada 2020,” katanya.

Ahmad Sukri berkata, dengan adanya liabiliti korporat itu kelak, jika berlaku kes rasuah membabitkan sesebuah syarikat, pihak pengurusan tidak dipertanggungjawabkan sekiranya sudah mengambil langkah pencegahan rasuah termasuklah IBR ini dan kesalahan hanya terhadap individu atau pekerja yang melakukan rasuah.

Bercakap mengenai IBR, beliau berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 45 agensi melaksanakannya berbanding 132 agensi pada tahun sebelumnya dan PESDEC adalah agensi pertama yang melaksanakannya tahun ini.

Bagi memperkasa Akta SPRM 2009, pindaan 2018 dilaksanakan dengan memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat yang mewajibkan syarikat bertanggungjawab jika kakitangannya terbabit rasuah, namun organisasi komersial akan mempunyai sistem pertahanan penuh jika mempunyai prosedur pencegahan rasuah.

Berita Harian X