Jumaat, 25 Januari 2019 | 4:00pm
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid(tiga kanan)bersama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail(empat kanan) merasmikan Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan di Kawasan Rehat dan Rawat(R,&R) Gunung Semanggol (Arah Selatan) KM196, Lebuhraya Utara-Selatan di Bukit Merah. - Foto L. Manimaran

39,311 pesalah trafik kamera AWAS disenarai hitam

IPOH : Sebanyak 39, 311 pesalah trafik yang dirakam menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di seluruh negara disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap berikutan gagal melunaskan saman sejak September hingga Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata sejak pihaknya mengambil alih operasi kamera berkenaan pada 1 September 2018, hingga 21 Januari ini, sebanyak 95,850 notis saman dikeluarkan menerusi 45 kamera AWAS di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 10,876 saman sudah diselesaikan manakala 84,974 saman lagi belum dilunaskan oleh pesalah trafik.

“Sehingga Disember 2018, sebanyak 39,358 saman dibawa untuk pendakwaan di mahkamah, namun hanya 45 pesalah trafik saja yang hadir.

“Berikutan itu, JPJ menyenarai hitam dan mengenakan waran tangkap kepada 39,311 pesalah trafik yang gagal menyelesaikan saman dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen JPJ di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Shaharuddin berkata, JPJ menyelaraskan 17 lokasi operasi AWAS di kawasan lebuh raya bagi merakam kesalahan pemandu kenderaan yang memandu melebihi had kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) yang ditetapkan.

“Sejak kita ambil alih bermula 1 September 2018, kita menarik semula had laju di bawah 110 km/j seperti tiga lokasi sebelum ini di mana had lajunya 90 km/j iaitu dua di Putrajaya dan satu di Kajang.

“Bagaimanpun, akan ada had laju 80 km/j selepas empat kamera AWAS dipasang berhampiran di kedua-dua arah Terowong Menora selepas perayaan Tahun Baru Cina ini, yang disifatkan lokasi kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa khas membabitkan PLUS dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi menentukan lokasi pemasangan kamera berkenaan iaitu kawasan sebelum dan selepas terowong.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan PLUS bagi pemasangan AWAS di Jambatan Pulau Pinang, Shaharuddin berkata pihaknya masih dalam peringkat perbincangan mengenai perkara itu berikutan had laju yang ditetapkan sepanjang jambatan berkenaan hanya 80km/j.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan di jambatan berkenaan.

Berita Harian X