Selasa, 29 Januari 2019 | 5:38pm
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SPRM tidak hantar surat tutup kes - Azam Baki

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi surat bagi menutup sebarang kes rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya akui menerima banyak aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan surat palsu itu sejak kebelakangan ini.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menerima sebarang surat yang meragukan dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian 1-800-88-6000 dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my.

“SPRM juga berharap orang ramai lebih peka dan berkongsi maklumat ini bersama masyarakat di sekeliling supaya tidak terpedaya dengan surat palsu itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan penularan surat bertajuk ‘Tawaran Untuk Menutup Kes’ kononnya dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Penyiasatan agensi itu.

Surat yang turut memaparkan Kod QR bitcoin itu memaklumkan, satu kertas siasatan sudah dibuka oleh SPRM untuk menyiasat satu kes rasuah.

Antara lain surat itu menyatakan penerima surat akan didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, penerima turut ditawarkan untuk menutup kertas siasatan dan menghapuskan bukti dengan syarat, penerima perlu membuat pembayaran RM100,000 ke akaun bitcoin dalam tempoh 30 hari dari tarikh terima surat.

Berita Harian X