Rabu, 30 Januari 2019 | 2:16pm
Mohd Azly Kamarudin dihukum denda RM326,700 dan penjara 24 bulan selepas didapati bersalah menandatangani borang perakuan kerja sudah disiapkan walaupun kerja berkenaan masih berjalan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bekas penolong jurutera didenda RM326,700, penjara 24 bulan

KUANTAN: Seorang bekas penolong jurutera dihukum denda RM326,700 dan penjara 24 bulan selepas didapati bersalah menandatangani borang perakuan kerja sudah disiapkan walaupun kerja berkenaan masih berjalan.

Hukuman itu diputuskan, Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, pagi tadi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Mohd Azly Kamarudin, 33, dikatakan melakukan kesalahan itu pada 20 Disember 2016 di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dengan niat mengelirukan majikan menandatangani dokumen pengakuan pengesahan kerja sudah disiapkan bagi kerja pembinaan surau serta kerja berkaitan di perumahan Pontian Jaya, Kuala Rompin, bernilai RM65,340.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dilakukan Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguambela, T. Mura Raju.

Kes itu mula dibicarakan pada 28 Ogos 2017 dan seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang proses perbicaraan berjalan.

Sementara itu, peguambela tertuduh dalam hujahan rayuannya meminta mahkamah menangguhkan hukuman penjara dan denda dikenakan bagi memberi laluan kepada proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim membenarkan penangguhan itu dan meminta pihak peguambela memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Tertuduh yang masih belum berumah tangga sudah digantung kerja sejak awal tahun lalu dan kini menetap bersama keluarganya di Rompin.

Berita Harian X