Khamis, 31 Januari 2019 | 1:37am
Anggota JPJ menahan sebuah van sekolah haram dalam operasi di bandar Chukai, Kemaman. - NSTP/Zaid Salim

8 pengusaha van sekolah haram berdepan tindakan mahkamah

KEMAMAN: Akibat menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM), lapan pengusaha van sekolah haram bakal berdepan hukuman mahkamah apabila kegiatan mereka berjaya dihidu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tangkapan terhadap lapan pengusaha berusia antara 30 hingga 50 tahun dilakukan dalam operasi yang diadakan selama lima hari bermula 20 hingga 24 Januari lalu di sekitar bandar Chukai, Kemaman.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Mat Yasin berkata, pihaknya memandang serius kesalahan itu kerana penumpang tidak dilindungi insurans sekiranya van berkenaan terbabit dalam kemalangan.

“Daripada aspek kesalahan jalan raya, van berkenaan tidak sah untuk mengangkut penumpang kerana kenderaan berkenaan dikategorikan sebagai kenderaan persendirian dan boleh dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan LKM.

“Setiap kesalahan yang membabitkan insurans tidak boleh dikompaun dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara,” katanya.

Katanya, JPJ menerusi Unit Risikan menjalankan siasatan di lokasi yang dikenal pasti sebelum melakukan tangkapan.

“Sebaik saja van berkenaan bergerak selepas mengambil penumpang, anggota akan mengekori van dan menahan kenderaan terbabit di lokasi yang sesuai untuk pemeriksaan,” katanya.

Katanya, semua pengusaha van terbabit kini dalam proses untuk dihadapkan ke mahkamah.

Zulkarnain berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi bagi mengesan kegiatan van sekolah haram di seluruh daerah di negeri ini.

Berita Harian X