Khamis, 31 Januari 2019 | 8:12pm
KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip. - Foto Adi Safri

Tiada kes kanak-kanak dibunuh, isi perut dikorek di Pagoh

MUAR: Polis Muar mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes berkaitan penemuan mayat kanak-kanak dengan isi perutnya diambil sebagaimana yang viral di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata pihaknya juga mengesahkan tiada sebarang kejadian yang berlaku di Dusun Damai, Pagoh di sini, sebagaimana yang didakwa dalam media sosial berkenaan.

“Semakan juga sudah dibuat dan mendapati kes yang viral (di media sosial) ini adalah kes yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang pada 22 Januari lalu di mana satu laporan polis dibuat berkaitan kes kehilangan kanak-kanak.

“Kes terbabit juga sudah selesai di mana kanak-kanak berkenaan sudah ditemui di sebuah pasar raya di Pulau Pinang dalam keadaan selamat pada 23 Januari lalu. Laporan polis berkaitan penemuan kanak-kanak terbabit juga sudah dilakukan,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Sehubungan itu, kata Zaharudin, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menasihatkan mana-mana individu atau pengguna media sosial supaya menghentikan penyebaran isu sensitif dan berita tidak benar dari mana-mana saluran media.

Beliau berkata, sebarang maklumat yang diterima perlu dirujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan fakta sebenar sebelum membuat penyebaran di media sosial.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah erti dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial tidak bertanggungjawab didakwa memuat naik paparan yang mendakwa jenazah kanak-kanak ditemui di Dusun Damai, Pagoh di di sini dengan isu perut dikorek dan diambil sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan pengguna internet dan juga masyarakat setempat.

Berita Harian X