Jumaat, 1 Februari 2019 | 12:24pm
K Kumaran menyampaikan sumbangan kepada pengguna jalaraya pada Majlis Pelancaran Ops Selamat ke 14 Peringkat Kontinjen Selangor sempena perayaan tahun baru cina di plaza tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie. - NSTP/Roslin Mat Tahir

1,564 kemalangan direkodkan dalam tempoh 3 hari

SHAH ALAM: Sebanyak 1,564 kes kemalangan dilaporkan dalam tempoh tiga hari Ops Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina di negeri ini yang bermula pada 29 Januari lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Datuk K Kumaran, berkata jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama pada Ops Selamat tahun lalu.

“Pada 2018, sebanyak 1,350 kemalangan direkodkan dengan lapan kematian, manakala dalam tempoh tiga hari ini, sudah berlaku 10 kemalangan maut dengan 11 kematian.

“Bagaimanapun, Polis Selangor akan meneruskan strategi serta inisiatif untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada ops kali ini terutamanya di kawasan hitam (black spot) kemalangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ops Selamat 14 IPK Selangor di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie, di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at.

Kumaran berkata, setiap daerah mempunyai kawasan hitam kemalangan yang dipantau rapi oleh polis antaranya, di daerah Kuala Selangor iaitu Jalan Klang - Teluk Intan, Jalan Kuala Selangor - Rawang serta Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur.

Katanya, jumlah kes kemalangan pada dua Ops Selamat yang lalu iaitu pada tahun 2017 dan 2018 mencatatkan penurunan dalam kes kemalangan tetapi peningkatan dalam jumlah saman yang dikeluarkan.

“Untuk makluman, pada Ops Selamat 2017, sebanyak 5,865 kes dilaporkan dan 5,799 kes pada tahun lalu manakala jumlah saman yang dikeluarkan pula meningkat daripada 43,691 saman (2017) dan 54,221 saman pada 2018,” katanya.

Sementara itu, Kumaran turut menasihat orang awam yang ingin pulang ke kampung sempena musim perayaan ini mengisi borang balik kampung dan menyerahkan kepada balai polis berdekatan.

Katanya, borang berkenaan boleh dimuat turun menerusi portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau boleh mendapatkannya di balai polis.

Berita Harian X