Sabtu, 2 Februari 2019 | 5:22pm

Gaduh punca ditikam hingga mati

IPOH: Perselisihan faham dua lelaki berakhir dengan seorang daripada mereka mati ditikam di kaki lima lot kedai di Jalan Theatre, berhampiran Balai Polis Pekan Baru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Chai Ah Kin, 83, maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian dada dipercayai ditikam dengan benda tumpul.

Suspek berusia lingkungan 30an yang juga penyewa bilik berjiran dengan mangsa pula parah selepas dipercayai ditetak oleh lelaki lain susulan kejadian itu.

Dua beranak iaitu seorang wanita warga emas dan anak lelakinya berusia lingkungan 30an yang turut terbabit bagaimanapun tidak cedera.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa dan suspek bertengkar berikutan perselisihan faham yang berlarutan sehingga hari ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang mati dipercayai kerana suspek menikamnya menggunakan objek tumpul selepas berlaku pergaduhan.

“Ketika kejadian, seorang wanita warga emas yang tinggal di bangunan sama cuba meleraikan pergaduhan itu, namun dia turut dicekik oleh suspek menyebabkan anak lelaki kepada wanita itu mengambil pisau pemotong daging sebelum menetak suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang parah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan polis turut menahan anak wanita berkenaan untuk siasatan lanjut kerana menetak suspek.

Katanya, siasatan mendapati mangsa, suspek dan wanita berkenaan menyewa di beberapa bilik di atas bangunan itu manakala anak wanita berkenaan yang tinggal di Sunway, Petaling Jaya, baru pulang untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibunya.

“Setakat ini, kita masih menyiasat senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa yang mati dan objek yang ditemui di lokasi kejadian adalah sudu, bagaimanapun ia masih dalam siasatan pihak polis.

“Si mati dipercayai sudah menyewa bilik di situ sejak 20 tahun lalu manakala suspek yang parah pula baru enam bulan tinggal di bilik sewa berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik HRPB,” katanya.

SEORANG lelaki warga emas mati dipercayai ditikam di bahagian dada dalam kejadian pergaduhan membabitkan empat individu di Jalan Theatre di Ipoh. - Foto NSTP/L. Manimaran
Berita Harian X