Sabtu, 2 Februari 2019 | 5:52pm
GAMBAR dari rakaman video memaparkan dua lelaki meminta penjelasan daripada lelaki (kiri) yang dipercayai menghina Yang Di-Pertuan Agong dalam media sosial miliknya.

Peniaga hina Yang di-Pertuan Agong disiasat mengikut Akta Hasutan 1948

KUANTAN: Seorang peniaga yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi Facebook ditahan polis untuk siasatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan hari ini di Kuantan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kerana laporan polis dibuat di sana.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 dan segala dapatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Buat masa ini, kita menasihatkan orang ramai tidak bertindak sendiri atau di luar undang-undang dan menghormati Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja yang seharusnya dihormati segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beberapa pengguna media sosial dikesan mengeluarkan kenyataan menghina Al-Sultan Abdullah sempena istiadat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur, Khamis lalu sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Antara lain, peniaga terbabit didakwa menulis di ruangan komen dengan kenyataan menghina gambar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun ditahan kerana dipercayai mengugut peniaga terbabit di premisnya di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati dua suspek datang ke kedai lelaki itu pada jam 2.30 petang semalam dan menegur tindakannya memuat naik komen berunsur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Suspek kemudian datang semula ke kedai mangsa beberapa jam kemudian dan memaki lelaki terbabit serta mengajaknya bergaduh, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Jerantut bersama tujuh badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis terhadap seorang lagi pengguna FB yang menggunakan nama ‘Desmond Yongkor’ kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan mahu tindakan diambil segera.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah, berkata pihaknya tidak boleh menerima penghinaan itu yang mengguris hati seluruh rakyat Malaysia terutama anak jati Pahang.

“Kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana perbuatan itu terlalu biadab sehingga mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Jerantut.

Berita Harian X