Ahad, 3 Februari 2019 | 8:27am
Keadaan kereta Proton Wira yang remuk dalam kemalangan dengan sebuah bas di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan yang menyebabkan seorang parah dan dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan kereta berkenaan cedera. - Foto ihsan Bomba

Seorang parah, dua cedera nahas kereta dan bas

SITIAWAN: Seorang parah manakala dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan bas di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan di sini, malam tadi.

Difahamkan, bas yang membawa 20 penumpang itu dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan manakala kereta terbabit dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam tadi.

Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu dan 20 penumpang bas itu tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, berkata anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam.

Bas yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan yang menyebabkan seorang parah dan dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan kereta berkenaan cedera. - Foto ihsan Bomba

Katanya, kemalangan membabitkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta Proton Wira dengan sebuah bas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian bomba mendapati dua mangsa sudah dikeluarkan dan dibawa ke hospital.

“Sementara, seorang lagi masih terperangkap dan cedera parah sebelum pasukan bomba mengeluarkan mangsa itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir untuk tindakan lanjut sebelum operasi yang diketuai Tajul Arif Ahmad itu tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam.

Berita Harian X