Ahad, 3 Februari 2019 | 12:51pm

Suspek parah ditetak masih menerima rawatan di hospital

IPOH: Polis masih belum boleh mengambil keterangan daripada suspek yang menikam jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre di sini semalam berikutan keadaannya masih parah dan belum sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata suspek berusia lingkungan 30-an itu masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas ditetak individu lain.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan lelaki berusia 30-an yang dipercayai menetak suspek dan juga ibunya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui motif sebenar pergaduhan itu.

“Bedah siasat mayat dijalankan di HRPB bagi mengetahui punca mangsa mati dan lain-lain masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga warga emas, Chai Ah Kin, 83, maut di tempat kejadian, manakala suspek lelaki berusia lingkungan 30-an parah ditetak dan dirawat di HRPB.

Difahamkan, terdapat kesan tikaman objek tumpul dipercayai sudu di dada mangsa, manakala suspek pula parah ditetak di bahagian kepala oleh individu lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman, dalam kenyataannya semalam berkata mangsa dipercayai bergaduh dengan suspek sebelum suspek menikamnya dengan objek tumpul.

Menurutnya, seorang wanita yang juga penyewa bilik di bangunan itu mendakwa cuba meleraikan pergaduhan namun dicekik suspek, menyebabkan anak lelakinya berusia 30-an mengambil pisau pemotong daging dan menetak suspek.

Berita Harian X