Ahad, 3 Februari 2019 | 2:36pm
KETUA Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

Dua lelaki ugut peniaga hina Agong dibebaskan dengan jaminan polis

KUANTAN: Dua lelaki yang ditahan kerana dipercayai mengugut seorang peniaga yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook (FB) dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata suspek berusia 32 dan 36 tahun itu yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibebaskan semalam selepas keterangan mereka di ambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Selepas ambil keterangan mereka, kita bebaskan dengan jaminan polis. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, dua suspek terbabit dikatakan pergi ke premis perniagaan peniaga berusia 45 tahun itu dan melakukan provokasi selepas tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga berkenaan meninggalkan komen berunsur penghinaan terhadap Al-Sultan Abdullah di FB.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, peniaga terbabit yang turut ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung komen yang berunsur penghinaan ditinggalkannya di FB turut dibebaskan dengan jaminan polis.

“Dia dibebaskan selepas keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Mengenai laporan polis dibuat ke atas pemilik akaun FB ‘Desmond Yongkor’ yang turut menghina Yang di-Pertuan Agong di FB, Mohd Zakaria berkata, siasatan diserahkan kepada Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Difahamkan, lebih 100 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di seluruh negara sejak kelmarin yang menggesa siasatan dilakukan ke atas tindakan biadap individu terbabit.

Berita Harian X