Ahad, 3 Februari 2019 | 5:51pm

Mohon ampun daripada Yang di-Pertuan Agong

KUANTAN: Peniaga yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Facebook (FB), Khamis lalu memohon ampun dan maaf daripada baginda di atas kesilapannya itu.

Cheah Kim Hung, 46, berkata dia kesal dengan kekeliruan berpunca akibat kesilapannya sendiri yang memberi komen pada gambar di sebuah halaman FB memaparkan Al-Sultan Abdullah, Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada istiadat di Dataran Parlimen.

Katanya, dia yang menggunakan nama FB, Michael Cheah, sebenarnya membalas komen seorang pelayar FB di halaman berkenaan yang merujuk wajah Perdana Menteri pada istiadat di Dataran Parlimen.

“Tetapi komen saya itu disalah erti oleh netizen yang kononnya merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, saya terkejut ia menjadi viral sebegitu rupa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kim Hung berkata, dia dipanggil memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 pada Jumaat lalu dan dibebaskan semalam.

“Saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 8 malam sehingga 2 pagi semalam, selepas itu saya dibawa ke IPD Temerloh untuk memberi keterangan sebelum dibebaskan kira-kira jam 10 pagi semalam,” katanya.

Cheah Kim Hung memohon ampun dan maaf daripada Yang di-Pertuan Agong di atas kesilapannya sendiri yang memberi komen di Facebook. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X