Isnin, 4 Februari 2019 | 3:37pm
KEADAAN kereta PERODUA Kancil yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Pekan-Nenasi, hari ini. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN kereta PERODUA Bezza yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Pekan-Nenasi, hari ini. - Foto ihsan PDRM

Peneroka maut nahas di Jalan Pekan-Nenasi

PEKAN: Seorang peneroka dari FELDA Chini 2, maut selepas kereta PERODUA Kancil dipandunya berlanggar dengan kereta PERODUA Bezza yang hilang kawalan dan memasuki laluannya di Kilometer 5, Jalan Pekan-Nenasi, dekat sini, hari ini.

Dalam nahas jam 11.55 pagi itu, Mat Amin Abdulllah, 78, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Faridah Ali Hussein, 61, patah tangan kanan.

Pemandu kereta PERODUA Bezza, Wan Nurul Hanifah W Hibadullah, 27, dari FELDA Bukit Sagu 2, Kuantan dan suaminya, Muhammad Fadzil Hashim, 30, pula luka pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata siasatan awal pihaknya mendapati kereta PERODUA Bezza yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuantan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Ketika kejadian, katanya, mangsa dan isteri menaiki PERODUA Kancil dalam perjalanan dari bandar Pekan ke Sungai Miang sebelum dilanggar PERODUA Bezza di sisi kanan kenderaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala isterinya patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Pekan.

“Pemandu dan penumpang PERODUA Bezza juga dirawat di hospital sama,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata, siasatan di lokasi mendapati permukaan jalan rata serta lurus dan ketika kejadian, cuaca cerah.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan mangsa cedera serta saksi bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X