Selasa, 5 Februari 2019 | 9:02am
Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan motosikal dengan sebuah kereta di Kilometer 2 Lumut-Seri Manjung. - Foto ihsan Pembaca

Anggota TLDM maut nahas motosikal dan kereta

LUMUT: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 2 Lumut-Seri Manjung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.05 petang, Pemangku Bintara Kanan Mohd Rizuan Rahimat, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan penumpang wanita bahagian hadapan kereta berkenaan berusia 26 tahun patah tangan kiri manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 125Z dengan Perodua Bezza yang dinaiki dua individu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Bezza berkenaan dari arah Manjung menghala ke Lumut manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Dipercayai kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun mahu masuk ke simpang Jalan Titi Panjang, namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan penumpang hadapan kereta berkenaan yang patah tangan kiri turut dirawat di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

Berita Harian X