Rabu, 6 Februari 2019 | 3:59pm
KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Markandan Subramaniam. - Foto Zaman Huri Isa

881 saman trafik dalam tempoh 24 jam

KOTA BHARU: Sebanyak 881 saman daripada pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini dalam tempoh 24 jam menerusi Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Markandan Subramaniam, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 522 saman disebabkan memandu laju, 12 saman kerana memotong serta enam saman mengenai kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Katanya, dalam tempoh 24 jam itu, sebanyak 48 kes kemalangan direkodkan dengan mencatatkan Kota Bharu paling tinggi membabitkan 14 kes, diikuti Kuala Krai (tujuh) dan Tumpat enam kes.

“Daripada jumlah itu, satu kes mencatatkan kemalangan maut yang membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 81 tahun apabila kenderaannya bertembung dengan motosikal lain di Pasir Puteh,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Markandan berkata, Ops Selamat yang dilancarkan di seluruh negeri ini bermula sejak 29 Januari lalu.

Katanya, menerusi operasi itu, sebanyak 233 kemalangan direkod dengan membabitkan empat kematian.

“Sejak 29 Januari, kami juga mengeluarkan 5,702 saman kepada pemandu untuk pelbagai kesalahan,” katanya.

Berita Harian X