Rabu, 6 Februari 2019 | 8:19pm
MOHD Asri menunggu di Bilik Forensik Hospital Pasir Mas untuk menuntut tiga anak perempuannya yang maut di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Bukit Tuku, Pasir Mas. - Foto Ihsan Pembaca

Luluh hati bapa lihat 3 anak perempuan terbaring atas jalan

PASIR MAS: “Sebaik tiba di lokasi kemalangan, saya terduduk melihat ketiga-tiga anak perempuan sedang terbaring atas jalan raya dalam keadaan ditutup dengan kain batik,” kata bapa kepada tiga mangsa kemalangan maut di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, Mohd Asri Zakaria.

Mohd Asri, 52, berkata ketika dihubungi seorang kenalan mengenai kemalangan yang menimpa tiga anaknya kira-kira 1.10 petang tadi, beliau yang berada di kedai runcit miliknya segera bergegas ke lokasi.

Katanya, rakannya itu hanya memberitahu nombor dan jenis kereta yang dinaiki ketiga-tiga anaknya terbabit dalam kemalangan, namun tidak memberitahu selanjutnya.

“Rakan hanya mengarahkan saya supaya datang dengan segera dan naluri saya dapat mengagak bahawa ia bukan kemalangan kecil.

“Sebaik tiba, perasaan saya sangat luluh apabila melihat dua anak terbaring dengan keadaan ditutup dengan kain batik.

“Ketika di tempat kejadian, saya diberitahu seorang lagi anak, Haifa Amira, 22, masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan segera mendapatkannya untuk mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, di sini sebentar tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu, tiga beradik berkenaan, Fatin Arina Mohd Asri, 23, Anis Suraya, 10, maut di lokasi kejadian manakala Haifa Amira meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.

Kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dipandu Mohd Helmi Mustafa, 21, dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka tiga beradik.

Pemandu Proton Wira terbabit kini dirawat di hospital yang sama dan difahamkan dalam keadaan kritikal.

Mohd Asri berkata, sebelum kejadian tiga beradik yang berasal dari Kampung Bukit Gading, Tanah Merah dalam perjalanan untuk menjemput ibu saudara, Zaleha Shafie, 48, untuk mendapatkan bekalan ubat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, mereka sudah menghampiri rumah ibu saudara sebelum berdepan dengan nahas terbabit.

“Ibu saudara mereka tidak dapat menerima tragedi yang menimpa dan asyik menyalahkan dirinya kerana meminta pertolongan untuk membawanya ke hospital.

“Namun, kami sekeluarga memintanya supaya bersabar dan menganggap itu sudah suratan takdir serta perlu reda walaupun terlalu sedih,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading, pagi esok.

Berita Harian X