Khamis, 7 Februari 2019 | 11:13am

'Ini gaji terakhir kak long boleh beri ibu'

TANAH MERAH: Mangsa kemalangan maut di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, petang semalam sempat memberikan separuh gaji kepada ibunya dan belanja makan semua ahli keluarga.

Ibunya, Zubaidah Shafie, 49, berkata anak sulungnya, Allahyarham Fatin Arina Mohd Asri, 23 baru

sebulan bekerja di Bank Islam, Pasir Mas dan akan berkahwin pada Jun ini.

“Sebaik menerima gaji pertamanya baru-baru ini, kak long (Fatin) memaklumkan selepas ini mungkin dia sudah tidak boleh beri (gaji) sebab ingin membuat persiapan perkahwinannya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa malah bersetuju dengan keputusannya itu kerana sejak beberapa bulan lalu dia sudah mula membeli semua barang hantaran.

“Selepas berlaku tragedi semalam, baru saya teringat semula katanya itu yang seolah-olah menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Gading, di sini hari ini.

Katanya, persiapan perkahwinan Fatin Arina bersama jejaka dari Pasir Puteh sudah hampir keseluruhan dibuat kecuali kad kahwin sahaja yang belum dicetak dan diedarkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kereta Perodua Myvi yang dipandu Fatin Arina bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluannya menyebabkan dia serta dua adiknya, Haifa Amira, 22 dan Anis Suraya, 10, maut.

Fatin Arina dan Anis Suraya maut di tempat kejadian manakala Haifa Amira meninggal dunia di Hospital Pasir Mas ketika mendapatkan rawatan.

Jenazah Haifa Amira dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Gading pada jam 6.30 petang semalam manakala dua lagi kira-kira jam 10 malam tadi.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Mukim Bukit Gading di sini sebelum dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading.

Berita Harian X