Jumaat, 8 Februari 2019 | 3:48pm
PENEMUAN mayat bayi di rumah sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

Kes buang bayi: Remaja perempuan, bapa, teman lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dan teman lelakinya yang masing-masing berusia 17 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi di rumah sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18, Putrajaya dekat sini, semalam.

Turut ditahan, bapa kepada remaja perempuan itu yang berusia 43 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketiga-tiga suspek direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, remaja perempuan itu direman empat hari sehingga Isnin depan, manakala bapa dan teman lelakinya direman dua hari sehingga esok.

“Siasatan mendapati bayi perempuan dilahirkan pada Rabu lalu kira-kira jam 11.30 pagi.

“Suspek remaja perempuan kemudian menutup mulut bayi itu dengan tuala serta membalut badannya dengan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah yang kemudian dibungkus dalam plastik sampah dan diikat.

“Bapa remaja itu membawa bungkusan plastik sampah berisi bayi itu ke rumah sampah dan meletakkannya di luar rumah sampah berkenaan bersama sampah lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 584 atau 585 atau pun menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak remaja mereka supaya tidak terbabit dengan gejala negatif dan anasir yang tidak baik,” kata Mazlan lagi.

Semalam, seorang pekerja Alam Flora menemui mayat bayi berkenaan ketika memasukkan sampah ke dalam lori sampah dari tempat rumah sampah di Blok D kuarters penjawat awam terbabit.

Polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 9.27 pagi menghantar sepasukan anggota polis bagi menjalankan siasatan.

Berita Harian X