Jumaat, 8 Februari 2019 | 8:23pm
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbelanjaan jadi tumpuan siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sedang memberi tumpuan mengenai dakwaan ‘jejak perbelanjaan’ dalam siasatan terhadap laporan pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada UMNO.

Difahamkan, tumpuan siasatan itu adalah membabitkan bagaimana pihak yang didakwa itu menerima wang berkenaan iaitu perantaraan yang digunakan dalam penyaluran wang itu, serta ke mana wang itu dibelanjakan.

Sumber berkata, proses mengambil keterangan masih tidak selesai kerana beberapa saksi penting belum memberi keterangan.

“Tumpuan utama dalam siasatan ini adalah mengenai dakwaan salah laku rasuah yang berlaku serta bagaimana wang itu digunakan untuk tujuan tertentu.

“Masih ada beberapa saksi yang dipanggil belum memberi keterangan dan SPRM masih meneliti beberapa pihak lain,” kata sumber.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun mengesahkan tumpuan utama siasatan dakwaan itu adalah mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, ketika ini hanya Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa, yang belum memberi keterangan dan sumber berkata SPRM dijangka sedang menyenaraikan beberapa lagi nama penting khususnya pemimpin PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, masing-masing memberi keterangan di Putrajaya dan Kelantan, semalam

manakala bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga pula hadir menemui SPRM kelmarin.

Keempat-empat mereka adalah saksi penting dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, portal MalaysiaKini melaporkan, aspek penting yang diteliti dalam siasatan itu adalah mengenai perbelanjaan membeli kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi dan banglo milik beberapa pemimpin PAS.

Portal itu mendedahkan maklumat sumber bahawa seorang bekas pemimpin PAS didakwa memiliki kereta-kereta mewah bernilai hampir RM1.5 juta dan sebuah rumah banglo berharga RM3 juta di Bangi.

“BMW 525, Mini Cooper, Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Toyota Fortuner, laporan memberitahu individu berkenaan membeli kereta-kereta mewah ini secara tunai.

“Manakala, tujuh pemimpin lain didakwa menyalahgunakan dana membeli Porche Cayman, Range Rover, Audi A6, Toyota Vellfire, Toyota Altis, Volkswagen Passat, Audi Q7, Mercedes Benz, motosikal BMW dan sebagainya.

“Turut dalam radar adalah pembelian nombor plet VIP oleh pemimpin-pemimpin ini. Dipercayai sekurang-kurangnya dua pemimpin PAS membelanja hampir RM100,000 setiap seorang untuk membeli nombor plet VIP ini,” kata sumber kepada MalaysiaKini.

Berita Harian X