Jumaat, 8 Februari 2019 | 8:58pm
NAJIB meninggalkan mahkamah selepas didakwa semula atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram RM47 juta, lima tahun lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib minta tangguh bicara kes SRC

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapi Datuk Seri Najib Razak akan bermula Selasa ini seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes berkenaan.

Mohd Nazlan sebelum itu membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik sijil pindahan kes tujuh tuduhan membabitkan dana SRC dihadapi Najib.

Hakim itu kemudian menggunakan budi bicaranya supaya tuduhan itu terus didengar di Mahkamah Tinggi dengan alasan antaranya, ia tidak memprejudiskan Najib dan tidak membawa sebarang sebarang perubahan kepada prosiding kes.

Bagaimanapun Najib hari ini menggunakan peluang terakhir untuk menangguhkan perbicaraan kes itu melalui permohonan penangguhan yang difailkan di Mahkamah Rayuan.

Najib mahu Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan persoalan sama ada pihak pendakwaan boleh menarik balik sijil pindah kes itu bagi tuduhan berkenaan, sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Najib pada mulanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan pendakwaan mengemukakan sijil bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Selain memfailkan permohonan penangguhan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, beliau turut menyertakan perakuan segera bagi pendengaran secepat mungkin.

Semalam, Najib melalui peguamnya memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik sijil pemindahan tujuh tuduhan terbabit berhubung dana RM42 juta SRC.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee, ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, berkata rayuan difailkan itu membabitkan persoalan sama ada keseluruhan prosiding di Mahkamah Tinggi sah atau tidak berikutan penarikan sijil itu.

Muhammad Shafee berkata, apabila sijil pemindahan itu mengikut Seksyen 418(A) Kanun Acara Jenayah (KAJ) ditarik balik, ia akan memberikan kesan kepada keseluruhan prosiding kes berkenaan.

Katanya, pendakwaan tidak boleh menarik balik sijil pemindahan itu begitu saja.

Sehubungan itu, kata beliau, rayuan asas berkenaan hendaklah didengar terlebih dulu sebelum Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan tiga permohonan interlokutori difailkan anak guamnya yang ditetapkan bagi pendengaran semalam.

Rayuan itu berkaitan permohonan pembelaan supaya pihaknya dikemukakan surat perlantikan Datuk Sulaiman Abdullah, yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes dan permohonan bagi mendapatkan dokumen kes.

Mahkamah Rayuan kemudian menangguhkan prosiding rayuan permohonan interlokutori itu dan menetapkan 11 Mac depan bagi pendengaran.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Berita Harian X