Sabtu, 9 Februari 2019 | 1:20am
SEBUAH kenderaan pacuan empat roda Toyota Hillux menjunan ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan. - Foto Ihsan Pembaca

Tidak timbul selepas selamatkan sekeluarga daripada lemas

KUALA TERENGGANU: Lima bersaudara diselamatkan oleh enam pemancing yang segera terjun ke Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang mereka naiki menggelungsur ke dalam sungai itu.

Bagaimanapun, seorang daripada enam pemancing itu dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan wanita berkenaan bersama-sama anak dan cucunya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Bari Asyraf, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu bersama lima lagi yang lain terjun ke dalam sungai sejurus kejadian untuk membantu menyelamatkan keluarga berkenaan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Bomba, Mazimi Mohamad berkata, bagaimanapun, lima lelaki yang lain berjaya naik ke darat, manakala mangsa dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, sebelum kejadian lima mangsa berada di dalam kenderaan berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam sungai.

“Sebelum kejadian isteri pemilik kenderaan berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan itu tanpa menyedari ia berada dalam posisi gear mengundur sebelum menghidupkan enjin.

“Ia dipercayai menyebabkan kenderaan itu yang diparkir secara mengundur meluncur ke dalam sungai.

“ Ketika kejadian, pemilik kenderaan berusia 50an berada di tepi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan.

“Kita menggunakan kaedah selaman membabitkan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang daripada enam penyelamat, Omar Abdul Aziz Othman, 27, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga baharu tiba ke pulau berkenaan untuk beli belah kira-kira jam 9.30 malam.

“Kira-kira sepuluh minit selepas itu saya terdengar jeritan orang minta tolong dan segera ke lokasi sebelum terjun ke sungai.

“Saya berjaya menyelamatkan dua wanita yang hampir lemas kira-kira lebih 50 meter dari tebing, manakala tiga lagi diselamatkan penyelamat lain.

“Ketika itu saya dapati mangsa yang juga penyelamat pertama dalam keadaan tenggelam timbul," katanya.

Semua lima mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X