Sabtu, 9 Februari 2019 | 8:29am

Sambung operasi SAR mangsa dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu

KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Terengganu di Pulau Warisan, malam tadi, disambung semula pada jam 8 pagi ini.

Mangsa, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dari Kampung Panji, di sini, ialah antara beberapa individu nekad terjun ke sungai itu bagi menyelamatkan lima sekeluarga selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki mereka terjunam.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mazimi Mohamad, berkata operasi SAR disambung semula selepas diberhentikan pada jam 1.30 pagi tadi.

“Kita terpaksa menghentikan operasi semalam kerana arus di dasar sangat deras,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi individu yang turut terjun ke sungai terbabit untuk membantu menyelamatkan mangsa, Omar Abdul Aziz Othman, 27, berkata ketika kejadian, beliau sedang bersama ahli keluarga sebelum mendengar jeritan meminta tolong.

“Tanpa memikirkan risiko, saya terus terjun ke sungai dan sempat menyelamatkan dua wanita yang hampir lemas.

PENYELAM dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan Peralatan Perapungan (Lifting) untuk menarik sebuah kenderaan empat roda yang terjunam ke dalam sungai Terengganu di Pulau Warisan. - Foto NSTP/Ghazali Kori

“Ketika berenang, saya tengok mangsa (Abdul Bari) sedang memegang seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan tenggelam timbul.

“Saya cuba menarik kanak-kanak itu daripada pegangannya tetapi gagal sebelum beralih menyelamatkan dua wanita lain dan membawa mereka ke tebing,” katanya yang tinggal di Rusila, Marang.

Beliau yang juga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berkata, pada masa sama, pemancing yang kebetulan berada di lokasi kejadian membantu melemparkan tong plastik bagi menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada mangsa sempat mencapai tong berkenaan kerana ketika itu, dia dilihat dalam keadaan hampir lemas.

“Kanak-kanak perempuan terbabit pula kemudian berjaya diselamatkan orang awam yang terjun ke sungai itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi, mangsa di dalam kenderaan itu, Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; serta Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat maseh mencari mangsa Abdul Bari yang dikhuatiri lemas ketika menyelamat satu keluarga yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Kampung Cina. - Foto NSTP/Ghazali Kori
PENYELAM dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan Peralatan Perapungan (Lifting) untuk menarik sebuah kenderaan empat roda yang terjunam ke dalam sungai Terengganu di Pulau Warisan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
PENYELAM dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan Peralatan Perapungan (Lifting) untuk menarik sebuah kenderaan empat roda yang terjunam ke dalam sungai Terengganu di Pulau Warisan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X