Isnin, 11 Februari 2019 | 10:50am
ANGGOTA polis buat sekatan dan pemeriksaan kepada pengguna jalan raya dalam satu operasi Op Mabuk dan Samseng Jalanan, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan polis

4 pemandu mabuk ditahan

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi khas Op Mabuk serta Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata operasi yang bermula dari jam 1 hingga 6 pagi itu menyaksikan sebanyak 125 kenderaan membabitkan 142 orang diperiksa.

“Pihak polis juga menjalankan ujian nafas terhadap 22 pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dengan tujuh daripadanya didapati positif.

“Daripada jumlah itu, empat termasuk seorang wanita didapati positif melebihi alkohol dalam darah selepas ujian nafas kedua dijalan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Habibi berkata, empat individu terbabit berusia 25 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 33 keping saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan pada operasi berkenaan dengan kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah memandu tanpa lesen manakala jenis kenderaan yang paling banyak disaman ialah motokar iaitu sebanyak 27 saman.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu-lintas.

“Selain itu, ia juga bagi mengelak individu memandu ketika berada dalam pengaruh alkohol yang mana boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Berita Harian X