Isnin, 11 Februari 2019 | 2:03pm
SENJATA api, peluru dan bom tangan yang dijumpai di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam Pulau Pinang. - Foto ihsan PDRM

Lebih 400 butir peluru, pistol dan bom tangan ditemui dalam kepala katil

BUKIT MERTAJAM: Lebih 400 butir peluru, pistol dan bom tangan ditemui disembunyikan dalam kepala katil di sebuah rumah dua tingkat dekat Taman Bukit Indah, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata polis pergi ke rumah berkenaan kira-kira jam 2.40 petang susulan rampasan pil ecstasy dan peralatan memproses dadah yang dibuat pada akhir tahun lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas rumah yang mempunyai empat bilik itu menemui beberapa butir peluru, dua pucuk pistol dan bom tangan yang masih aktif.

“Pada 2 Disember polis, polis mengadakan pemeriksaan di rumah yang ditinggalkan penyewa kira-kira enam bulan, dan kita menemui sejumlah pil ecstasy dan peralatan memproses dadah dengan jumlah rampasan lebih RM700,000.

“Semalam, polis sekali lagi pergi ke rumah itu untuk siasatan lanjut dan terkejut apabila menemui beberapa butir peluru, pistol dan bom tangan yang masih lagi aktif,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya kemudian menghubungi Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang (IPK) untuk tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan Unit Pemusnah Bom menemui lagi ratusan butir peluru yang berada dalam kepala katil.

“Kesemua barangan yang dijumpai dibawa ke Stor Simpanan Cawangan Persenjataan IPK untuk disimpan dan bom pula akan dimusnahkan esok,” katanya.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek berusia 42 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

“Suspek yang dikehendaki itu mempunyai 16 rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Berita Harian X