Selasa, 12 Februari 2019 | 2:51pm
KORONER Rofiah Mohamad bersama Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah (kanan) ketika lawatan ke tapak lokasi insiden berhadapan kuil Sri Maha Mariamman bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. - Foto Sairien Nafis

Inkues Adib: Koroner naik FRT, tinjau EMRS

SUBANG JAYA: Koroner dan pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim melawat jentera pemadam (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang terbabit dengan kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di USJ 25 di sini, pada November tahun lalu.

Kedua-dua kenderaan itu berada di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, di sini.

Koroner Rofiah Mohamad dan pihak berkepentingan tiba di balai bomba berkenaan kira-kita jam 12.10 tengah hari dan meluangkan masa hampir 50 minit di situ.

Rofiah dilihat turut menaiki jentera FRT terbabit dan melihat keadaan pintu serta cermin van EMRS.

Turut serta Pegawai-pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Selain itu, pihak berkepentingan termasuk peguam keluarga Muhammad Adib, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Peguam turut meninjau keadaan kedua-dua kenderaan terbabit.

Terdahulu, prosiding hari kedua inkues Muhammad Adib, hari ini, diadakan di lokasi kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman.

Ia bagi mendapat gambaran jelas mengenai kejadian berkenaan.

Rofiah dan pihak berkepentingan hadir ke lokasi jam 11.20 pagi dan meluangkan masa hampir kira-kira setengah jam di situ.

Prosiding dimulakan dengan saksi kedua, Md Elliza Mohd Noor memberi keterangan di lokasi kebakaran kereta di tepi jalan berhampiran kuil itu.

Pemandu FRT BBP Subang Jaya itu turut dilihat memberikan keterangan di satu lokasi berhampiran kuil.

Kesemua mereka kemudian menuju ke arah lokasi di mana jentera berkenaan dikatakan berundur.

Hampir 50 petugas media turut berada di lokasi kejadian, sejak jam 9 pagi, bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Prosiding bersambung semula di Mahkamah Koroner di Shah Alam, jam 2.30 petang.

Berita Harian X