Selasa, 12 Februari 2019 | 7:43pm

Suami pukul isteri sampai mati kerana cemburu

JOHOR BAHRU: Seorang warga Myanmar maut dipercayai dipukul suaminya yang cemburu apabila terserempak dengan mangsa keluar bersama lelaki lain, malam tadi.

Mangsa yang berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat kira-kira jam 9 pagi tadi dengan kesan lebam hampir keseluruhan badannya termasuk kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata bertindak atas makluman hospital, polis menahan suami mangsa berusia 22 tahun yang juga rakyat negara berkenaan.

Beliau berkata, sebaik dimaklumkan hospital, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang membawa mangsa ke hospital mendapatkan rawatan

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 22 tahun yang juga suami mangsa di Taman Banang, satu jam selepas penahanan lelaki pertama.

“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suami terhadap isterinya.

“Mangsa yang hampir setahun berkahwin dengan suaminya dikatakan keluar bersama seorang lelaki lain sehingga terserempak dengan suaminya. Berlaku pertengkaran antara pasangan ini sehingga si suami bertindak memukul isterinya di rumah kedai lokasi pasangan ini bekerja,” katanya ketika dihubungi.

Azhan berkata, mangsa mengalami lebam hampir keseluruhan badan termasuk di kepala hingga menyebabkan mangsa tidak bermaya sebelum meninggal dunia pagi tadi.

Katanya, suaminya dengan bantuan pengurus kedai menghantar mangsa ke HSNI sebelum keduanya ditahan polis.

“Kes dianggap selesai dengan tertangkapnya suspek utama yang juga suami mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Berita Harian X