Khamis, 14 Februari 2019 | 11:05am
NAJIB keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas mendengar sebutan kes tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
NAJIB keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas mendengar sebutan kes tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama

Mahkamah Rayuan dengar 4 rayuan interlokutari Najib pada 11,12 Mac ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan tetapkan 11 dan 12 Mac ini sebagai tarikh mendengar empat rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) Datuk Seri Najib Razak, dalam kes pecah amanah dan salah guna kedudukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed, memaklumkan tarikh pendengaran rayuan kes membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharidah Awang.

Katanya, tarikh itu ditetapkan Norsharidah selepas pertemuan dengannya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini.

Katanya, pada 4 atau 5 Mac ini pula ditetapkan sebagai tarikh untuk pemfailan hujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Pihak perayu memaklumkan, mereka memerlukan 10 hari daripada tarikh penerimaan rekod rayuan untuk memfailkan petisyen rayuan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rayuan yang akan didengar selama dua hari itu adalah berkaitan permohonan pembelaan supaya pihaknya dikemukakan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu, perintah larangan menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes dan permohonan mendapatkan dokumen kes.

Selain itu, mahkamah juga akan mendengar rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes bagi tujuh tuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan Sulaiman selepas memutuskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Sulaiman mengemukakan surat pelantikan secara fiat (kebenaran rasmi) kepada peguam Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam penghakimannya, berkata ada beberapa perkara kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman, bagaimanapun menurut hakim itu, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan media berhubung pelantikan itu pada 31 Ogos tahun lalu.

Katanya, kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara, Tommy Thomas, secara jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk mengetuai pasukan pendakwaan, oleh itu mahkamah menganggap permohonan Najib tidak mempunyai merit.

Najib memohon untuk mendapatkan surat berkenaan bagi mengenal pasti sama ada pelantikan terbabit dibuat melalui cara yang betul mengikut peruntukan Kanun Acara Jenayah dan menegaskan bahawa ia adalah prosedur standard.

Pada 13 Disember pula, Mohd Nazlan menolak permohonan Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kes terbabit.

Mohd Nazlan, yang memutuskan bahawa permohonan itu tidak wajar, berkata undang-undang menghina mahkamah dan fitnah sedia ada sudah cukup mengendalikan risiko prejudis atau campur tangan dalam sistem keadilan jenayah.

Perintah larangan itu dimohon Najib supaya masyarakat dan media tidak membuat komen atau ulasan yang menyentuh berhubung merit kes pecah amanah dan salah guna kuasa dihadapinya.

Najib turut merayu mendapatkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Berikutan rayuan interlokutori itu, pihak pembelaan melalui surat kepada Mahkamah Tinggi pada 17 Januari lalu, memohon supaya perbicaraan kes 12 Februari lalu ditangguhkan sehingga rayuan mereka didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Pada 11 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi beliau.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X