Khamis, 14 Februari 2019 | 8:36pm
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff. - NSTP/Rosela Ismail
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff. - NSTP/Rosela Ismail

Pengurus syarikat besi buruk disamun RM100,000

KAJANG: Seorang pengurus sebuah syarikat besi buruk kerugian RM100,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki menaiki dua kenderaan di Lebuhraya SILK, Cheras, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Camry, dilaporkan dalam perjalanan menghala ke Cheras Jaya, selepas mengeluarkan wang syarikat dari sebuah bank di The Mines, Seri Kembangan.

Ketika sampai di laluan pusingan U menghala ke Cheras Jaya, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dilaporkan menghimpit kereta mangsa hingga menyebabkan dia terpaksa berhenti di tengah jalan.

Pada masa sama, seorang lelaki yang memakai topi keledar biru dengan bersenjatakan satu objek menyerupai pistol turun dari kenderaan berkenaan dan mengacukan senjata ke leher mangsa.

Tidak lama selepas itu, sebuah lagi kereta jenis Proton Persona tiba sebelum tiga lelaki yang menaiki kenderaan berkenaan yang bersenjatakan kapak turun secara tiba-tiba dan memecahkan cermin tingkap pintu pemandu dan penumpang hadapan.

Suspek kemudian dilaporkan melarikan sebuah beg warna hitam milik pengadu yang mengandungi wang tunai RM100,000 yang baru dikeluarkan.

Semua suspek yang menaiki dua buah kereta berkenaan kemudian melarikan diri dengan kereta yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pada masa ini pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang, masih menjalankan siasatan lanjut termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

“Saya mengesahkan kejadian ini dan mengalu-alukan sebarang maklumat dari mana-mana saksi yang terlihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini.

“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berita Harian X