Ahad, 17 Februari 2019 | 9:39am
DUA wanita warga Indonesia ditahan dalam ‘Ops Tapis’ di Pasar Batu 4 Jalan Apas. - Foto IHSAN POLIS

Dadah dalam bakul

TAWAU: Polis menahan dua wanita warga Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Pasar Batu 4 Jalan Apas di sini, petang semalam.

Kedua-dua suspek ditahan dalam ‘Ops Tapis’ dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, diketuai Inspektor Syed Mohd Iqbal Syed Mohd Yassin kira-kira 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata wanita berumur 30 dan 31 tahun itu ditahan hasil serbuan di sebuah gerai berhampiran jalan di kawasan pasar berkenaan.

Katanya, ketika serbuan di gerai diusahakan dua wanita itu, polis menemui bakul plastik berwarna biru di dalamnya mengandungi satu bungkus polistirena.

“Polistirena itu mengandungi lima paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata, syabu seberat 251.10 gram dianggarkan bernilai RM22,500 itu dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Berita Harian X