Ahad, 17 Februari 2019 | 11:43am
Seorang pemandu rentung selepas kereta BMW dipandunya terbabas dan melanggar pokok lalu terbakar di Petaling Jaya awal pagi tadi, waris sedang dikesan. - Polis/Foto Ihsan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Polis Daerah Petaling Jaya

Pemandu rentung nahas awal pagi

PETALING JAYA: Seorang mangsa rentung selepas kereta jenis BMW dipandunya terbabas dan melanggar pokok lalu terbakar di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, Subang, awal pagi tadi.

Berikutan itu, polis giat mengesan waris atau kenalan mangsa bagi membolehkan pengenalan identiti dilakukan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 4.30 pagi, di lokasi menghala Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan terbabas di tepi jalan PJU 1/IA dan melanggar sebatang pokok sebelum dilaporkan terbakar.


Seorang pemandu rentung selepas kereta BMW dipandunya terbabas dan melanggar pokok lalu terbakar di Petaling Jaya awal pagi tadi, waris sedang dikesan. - Polis/Foto Ihsan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Polis Daerah Petaling Jaya

“Kebakaran dipadamkan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba Petaling Jaya selepas 15 minit kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dan kereta berkenaan hangus sepenuhnya, menyebabkan polis gagal mengenal pasti identiti pemandu dan nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Mohd Zani berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga berkemungkinan mempunyai kaitan dengan mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen, di talian 010-2105101.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X