Ahad, 17 Februari 2019 | 6:57pm
Suhaimis Kudus melihat lokasi tiga anaknya yang lemas di kolam ikan terbiar di Kampung Bintang Mas, Beluran. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
Suhaimis Kudus melihat lokasi tiga anaknya yang lemas di kolam ikan terbiar di Kampung Bintang Mas, Beluran. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Hilang tiga anak sekali gus: Bapa reda walaupun berat diterima

BELURAN: “Tiga anak saya hilang sekali gus dan saya reda walaupun berat untuk diterima,” kata Suhaimis Kudus, 40-an, bapa kepada tiga beradik yang lemas di kolam ikan terbiar di Kampung Bintang Mas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Faisal Effendy, 6, Mohd Shafie Ilham, 8 dan abangnya, Mohd Shafik Ikram, 10, lemas di kolam ikan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Suhaimis berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di rumah dan tiba-tiba anak saudaranya memaklumkan anaknya lemas.

“Saya terus berlari ke kolam itu dan melihat anak kedua terapung di tengah kolam lalu terjun serta mengambil dan membawanya ke darat.

“Kemudian, saya terjun semula dan berjaya menemui anak ketiga yang tenggelam lalu mengangkat jasadnya ke tebing.

“Pada masa sama, penduduk kampung lain berjaya menemui anak pertama yang turut tenggelam di dalam kolam itu,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian, hari ini.

Suhaimis berkata ketika itu anaknya yang pertama dan kedua dilihat masih ada degupan jantung tetapi lemah.

“Saya dan orang kampung segera melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun semua sudah terlambat,” katanya.

Katanya lagi, mereka masih tidak percaya dan yakin anak-anaknya mungkin masih boleh diselamatkan lalu membawa mereka semua ke Klinik Telupid.

“Bagaimanapun, semuanya disahkan sudah meninggal dunia dan kami bawa jenazah mereka pulang ke kampung semula,” katanya.

Kata Suhaimis lagi, dugaan yang dilaluinya kali ini terlalu berat, namun tiada apa lagi yang boleh dikatakan.

“Memang berat melalui semua ini, malah isteri saya juga sukar untuk bercakap ketika ini,” katanya.

Menurut Suhaimis, Isterinya Jamilah Basri, 28, ketika ini hanya mampu menangis sehingga sekarang kerana kehilangan tiga cahaya mata sekali gus.

“Kini kami hanya ada seorang saja anak lelaki berusia empat tahun yang tinggal,” katanya.

Berita Harian X