Isnin, 18 Februari 2019 | 6:13pm
R Narresh (kiri) hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Saksi redah 12 jam perjalanan, demi Adib

SHAH ALAM: Saksi kesembilan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, mengakui terkilan kerana tidak dapat melihat mangsa buat kali terakhir, meskipun sudah berada di kampung anggota bomba itu, pada hari pengebumiannya.

R Narresh, 30, yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), berkata beliau nekad pergi ke Kampung Tebengau, Kuala Kedah, untuk melihat Muhammad Adib buat kali terakhir selepas mengetahui berita kematian anggota bomba itu di Institusi Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018.

“Saya pergi ke kampung itu tetapi tidak sempat untuk melihat Muhammad Adib dan dia sudah dikebumikan. Orang kampung pandang saya semacam.

“Saya tempuh perjalanan selama 12 jam menaiki pengangkutan awam dari KL Sentral dan kemudian mengambil Grab.

“Disebabkan tidak dapat berjumpa Muhammad Adib buat kali terakhir, saya pujuk S Suresh (saksi kelapan) untuk memberikan keterangan bagi menegakkan keadilan kepada anggota bomba itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Syazlin Mansoor.

Narresh berkata, beliau melawat Muhammad Adib di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) tapi tidak boleh melawat mangsa di IJN kerana arwah tidak boleh menerima pelawat.

Dalam prosiding itu juga, saksi sama turut meluahkan rasa terkilan dengan segelintir masyarakat yang mengecamnya.

Katanya, beliau tidak memburukkan mana-mana pihak apabila menjadi saksi inkues kematian Muhammad Adib sebaliknya memberitahu perkara yang dilihatnya.

“Saya hanya membantu dan menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia tetapi saya menerima ancaman di media sosial daripada orang ramai dalam berbentuk perkataan.

“Sehingga kini, ada lagi rakan yang menghubungi saya berhubung kes ini dan saya beritahu mereka supaya menghormati keputusan mahkamah kerana saya adalah saksi kesembilan serta ramai lagi saksi lain,” katanya.

Berita Harian X