Isnin, 18 Februari 2019 | 7:10pm
Ahmad Akmal M Tahrir membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Foo Sing Wai di Balai Polis Tampoi, hari ini. - Foto Mohd Sabran Md Sani
Ahmad Akmal M Tahrir membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Foo Sing Wai di Balai Polis Tampoi, hari ini. - Foto Mohd Sabran Md Sani

Hina Nabi Muhammad: Pendakwah bebas buat laporan polis

JOHOR BAHRU: Seorang pendakwah bebas membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Foo Sing Wai, berikutan tindakannya menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah.

Pendakwah terbabit, Ahmad Akmal M Tahrir, 41, berkata laporan polis itu dibuat susulan penularan gambar kartun dalam keadaan berbogel dikongsi di laman sosial pemilik akaun terbabit, yang digambarkan sebagai junjungan besar dan isteri baginda.

“Tindakan pemilik akaun FB Foo Sing Wai itu amat melampau, biadap dan keterlaluan kerana memuat naik gambar kartun seorang lelaki bersama kanak-kanak.

“Lelaki dewasa itu ditulis dengan perkataan Muhammad dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Tampoi di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami mahu siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun FB yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini, sekali gus sengaja mencabar sensitiviti agama.

“Penghinaan yang dibuat kali ini terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri amat keterlaluan dan sangat melampau” katanya.

Tambah beliau, laporan polis dibuat itu bukan mewakili mana-mana pertubuhan tetapi didorong kesedaran dan kehendaknya sendiri berikutan rasa terpanggil atas perbuatan penghinaan individu terbabit terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri.

Berita Harian X