Rabu, 20 Februari 2019 | 1:39pm
GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya

EXCO Perak serah polis siasat kes dera kanak-kanak

IPOH: Kerajaan negeri kesal dengan tindakan pekerja sebuah rumah jagaan kanak-kanak kelolaan swasta yang memukul seorang kanak-kanak kerana melakukan kesalahan kecil, sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing, berkata keganasan membabitkan pihak pusat jagaan atau rumah kanak-kanak itu perlu dihentikan segera.

“Perbuatan pekerja Rumah Kanak-kanak (RKK) Taiping yang memukul kanak-kanak jelas memperlihat wujud salah laku dan apa yang jelas setiap kanak-kanak tidak wajar diperlakukan sebegitu apatah lagi difahamkan bahawa budak lelaki itu kurang matang dan mempunyai masalah serta gangguan pembelajaran.

“Menurut laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, kes ini berpunca kerana kanak-kanak itu melekatkan gula getah di hadapan kereta seorang pekerja RKK, di mana pekerja itu bertindak menarik baju dan memukul bahagian belakang serta pipi budak itu kerana terlalu marah atas perbuatan yang dilakukannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki dirakam memukul dan memarahi seorang kanak-kanak lelaki dipercayai penghuni sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Taiping yang videonya tular di laman sosial.

Video berdurasi dua minit 10 saat itu tular sejak kelmarin, memaparkan tindakan lelaki terbabit memukul seorang kanak-kanak lelaki di hadapan sebuah kereta kerana mangsa dikatakan melekatkan sisa gula getah di keretanya itu.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah kebajikan terbabit dan satu laporan mengenai penularan video berkenaan diterima polis malam kelmarin.

May Ing berkata, JKM sudah mengambil tindakan mengikut peruntukan yang dibenarkan dan disebabkan RKK Taiping adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan pusat jagaan di bawah JKM, maka siasatan dan tindakan lanjut akan diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, selepas perbincangan bersama JKM juga, ibu kanak-kanak berkenaan bercadang untuk mengambil anaknya semula.

“Saya juga difahamkan bahawa ibunya pernah menerima bantuan untuk anaknya, namun bantuan itu telah ditamatkan akibat penempatan anaknya ke RKK. Bantuan berkenaan akan disalurkan semula jika beliau menepati garis panduan syarat permohonan kebajikan,” katanya.

Berita Harian X