Rabu, 20 Februari 2019 | 3:55pm

KDN rampas naskhah al-Quran cuba diseludup

KLANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas ribuan naskhah al-Quran bernilai RM502,800 yang cuba diseludup masuk menggunakan kontena di Pelabuhan Utara di sini, kelmarin.

Difahamkan, kitab suci dari Indonesia itu diseludup bagi pasaran tempatan dan dijual secara dalam talian berikutan permintaan tinggi terutama menjelang Ramadan.

Bagaimanapun, al-Quran berkenaan tidak diisytiharkan dalam dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), selain tidak mendapat kebenaran import daripada Lembaga Pengawalan, Pelesenan dan Pencetakan Teks Al-Quran (LPPPQ).

Cubaan itu dibongkar Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor yang merampas semua al-Quran berkenaan untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya, Feisal Mohd Ali, berkata rampasan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada JKDM berkaitan satu kontena yang mengandungi kitab suci itu, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor, Feisal Mohamed Ali (tiga kiri) menunjukkan sebahagian daripada 5050 naskah al-Quran import yang dirampas pada sidang media di Pejabat Cawangan KDN Klang. - Foto Faiz Anuar

“Sepasukan 10 pegawai dan anggota bergegas ke pelabuhan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

“Ia membawa kepada penemuan 192 kotak mengandungi 5,050 naskhah al-Quran bersaiz kecil dan besar dianggar bernilai RM502,800.

“Semua naskhah berasal dari Indonesia dan membabitkan empat jenis terbitan,” katanya pada sidang media di Pejabat PKK KDN Cawangan Pelabuhan Klang di Bandar Bukit Tinggi di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) dan Seksyen 8 Akta Percetakan al-Quran (APTQ) 1986 kerana mengimport teks al-Quran tanpa kebenaran LPPPQ, selain tidak mengandungi maklumat tertentu yang ditetapkan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik sebenar pengimport semua naskhah al-Quran itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Feisal berkata, kandungan al-Quran itu dikhuatiri menyalahi dari segi ayat dan baris sehingga boleh menyebabkan umat Islam salah membaca serta menyimpang daripada maksudnya.

Antara sebahagian 5050 naskah al-Quran import yang dirampas pada sidang media di Pejabat Cawangan KDN Klang. - Foto Faiz Anuar

“Al-Quran itu mempunyai kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkan ejaan ayat suci dalam tulisan berkenaan.

“Kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati ia tidak mengikut konsep resam Uthmani yang ditetapkan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di pejabat pos, pusat kurier dan premis menjual teks al-Quran di negeri ini.

“Orang ramai boleh melihat sama ada al-Quran yang dibeli itu mendapat kelulusan atau sebaliknya menerusi cop dan hologram KDN.

“Jangan beli sekiranya ia tiada kelulusan,” katanya.

Berita Harian X