Rabu, 20 Februari 2019 | 11:01pm
BEKAS anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar akan terus menjadi tahanan imigresen di pusat tahanan Villawood, Sydney.

Tribunal Australia tolak permohonan Sirul

KUALA LUMPUR: Tribunal Rayuan Pentadbiran Australia menolak permohonan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar, supaya dibebaskan daripada menjadi tahanan imigresen.

Keputusan yang dibuat Isnin lalu itu menyebabkan Sirul yang ditahan pada 2013 berikutan visa dan pasportnya sudah tamat tempoh, akan terus menjadi tahanan imigresen di pusat tahanan Villawood, Sydney.

Peguam Hasnal Rezua Merican yang mengendali kes terhadap Sirul di Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Persekutuan di sini, berkata bekas anggota polis itu masih berpeluang untuk merayu dengan membawa kes itu ke mahkamah di Australia.

“Sirul membuat permohonan di Tribunal Pentadbiran supaya dia diberi visa perlindungan oleh imigresen Australia tapi ditolak dan kemudian dia merayu di Tribunal Rayuan Pentadbiran.

“Dia datang ke Australia sebagai pelancong selepas Mahkamah Rayuan pada 2013 membatalkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya dan Azilah Hadri serta melepas dan membebaskan mereka.

“Jadi, dakwaan mengatakan dia melarikan ke Australia ketika itu adalah tidak benar. Ketika berada di negara itu, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan itu membuat keputusan mengekalkan hukuman mati terhadapnya dan Azilah.

“Selepas itu, Polis Antarabangsa (INTERPOL) mengeluarkan ‘red alert’ atau notis merah terhadap Sirul kerana dikehendaki Malaysia bagi kes mahkamah berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibbu

“Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi tapi Australia tidak membenarkan seseorang itu dihantar pulang ke negara asal untuk menghadapi hukuman mati.

“Kes ini bukan permohonan suaka politik seperti yang dilaporkan, ia adalah mengenai masalah imigresen yang dihadapi Sirul,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Ketika ditanya sama ada Sirul boleh dihantar balik ke Malaysia selepas tribunal menolak permohonannya, Hasnal berkata tidak kerana dia masih berpeluang membawa kes itu ke Mahkamah Agung Australia.

Hasnal berkata, sekiranya permohonan Sirul berjaya di Mahkamah Agung, bekas anggota polis itu akan menjadi individu bebas di negara itu dan kemudian boleh memohon menjadi pemastautin tetap di negara itu.

“Jika rayuannya ditolak pada peringkat mahkamah, Sirul akan terus menjadi tahanan imigresen,” katanya.

Berita Harian X