Jumaat, 22 Februari 2019 | 3:58pm

Suspek hina Nabi Muhammad dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan kerana disyaki menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata warga emas berusia 68 tahun itu dibebaskan pada jam 11 pagi tadi.

Suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Setakat ini, lebih 390 laporan diterima polis di seluruh negara daripada pelbagai pihak berikutan status penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai itu.

Berita Harian X