Jumaat, 22 Februari 2019 | 6:30pm
Abdul Malik (dua dari kiri) bersama pekerja di hadapan kedainya di Jalan Raja, Teluk Intan. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

'Tiada arahan tutup restoran'

TELUK INTAN: Pemilik restoran Sultana Nasi Kandar atau lebih popular sebagai ‘nasi lambai’ yang diperiksa Jabatan Kesihatan dan polis di sini, Selasa lalu, menafikan premisnya diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa.

Abdul Malik Pakeer Mohamad, 36, sebaliknya kecewa dengan mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab menularkan berita bahawa premis perniagaannya itu menggunakan bahan terlarang dalam masakan tanpa maklumat sahih.

Selain itu, beliau mendakwa pemeriksaan dijalankan tanpa sebarang notis daripada pihak terbabit, malah notis penutupan premis perniagaannya juga tiada dikeluarkan.

“Saya tidak menerima sebarang notis penutupan kedai dan kami boleh beroperasi seperti biasa.

“Cuma, saya bercuti sehari saja (Rabu) selepas pemeriksaan itu kerana mahu menenangkan diri dan pekerja, selain berbincang mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaan terbabit di Jalan Raja, di sini, hari ini.

Abdul Malik berkata, tiga pekerjanya, termasuk seorang warga Bangladesh, dibawa ke balai polis pada Selasa lalu untuk menjalani saringan awal air kencing, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Sudah lama kami berniaga dan saya adalah generasi ketiga menguruskan kedai ini yang diasaskan datuk sejak 1952. Kami tidak pernah menggunakan sebarang bahan terlarang dalam masakan, malah saya sendiri tidak pernah terfikir berbuat demikian.

“Kami memang menggunakan kas-kas dalam masakan, namun hanya dalam kuantiti sedikit. Kas-kas banyak digunakan dalam masakan India kerana dapat menyedapkan dan memekatkan kuah, terutama masakan kambing serta sotong.

“Penggunaan kas-kas dalam masakan tidak diharamkan di negara ini, dan ia juga digunakan dengan meluas serta dijual secara terbuka,” katanya.

Abdul Malik mendakwa, pihaknya tiada menghadapi isu berhubung perkara itu sebelum ini, selain hanya menggunakan kas-kas dalam kuantiti sedikit kerana jika terlebih, masakan menjadi kurang sedap, berbuih dan cepat membeku.

Beliau mendakwa premis perniagaannya bukan sahaja dikunjungi pelanggan setempat, malah turut mendapat sambutan orang kenamaan, penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan mereka dari Singapura.

“Namun, perkara ini memberi kesan terhadap jenama perniagaan kami dan pelanggan agak kurang selepas kejadian itu. Tiga pekerja juga terkesan, terutama tukang masak berusia 76 tahun yang sudah bekerja dengan kami sejak 35 tahun lalu.

“Namun bagi saya, apa yang lebih penting ialah membetulkan perkara ini dan berharap perniagaan kembali seperti asal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata pihaknya masih menunggu hasil laporan ujian kimia yang dijalankan.

Beliau berkata, restoran terbabit masih beroperasi seperti biasa dan tidak ada arahan penutupan daripada Kementerian Kesihatan atau pihak lain.

“Tiga pekerja premis itu juga sudah dibebaskan dengan jaminan dan kita masih menunggu laporan pakar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah restoran nasi kandar, di sini, diperiksa selepas sebahagian menu makanannya dipercayai mengandungi kas-kas berlebihan sehingga menyebabkan pengunjung positif dadah apabila dibuat saringan air kencing.

Pemeriksaan dilakukan selepas seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak yang makan di restoran itu, didapati positif dadah ketika ujian saringan air kencing dilakukan terhadap pegawai dan anggota polis di daerah terbabit, Isnin lalu.

Berita Harian X