Ahad, 24 Februari 2019 | 11:43am
NSTP Rabu lalu melaporkan sebuah kedai makanan di Teluk Intan, diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan, selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

KKM siasat restoran didakwa guna bahan terlarang

IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan sama ada benar terdapat bahan larangan digunakan sebuah restoran di Teluk Intan sehingga mengakibatkan pelanggan mengalami gejala lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di restoran berkenaan, Selasa lalu.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata sampel makanan sudah diambil dari restoran berkenaan dan pihaknya masih menunggu keputusan sama ada benar terdapat bahan larangan yang digunakan pemilik.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan pihak polis dan sehingga kini KKM belum dapat mengesahkan sama ada terdapat bahan larangan atau sebaliknya disebabkan keputusan sampel masih belum diperoleh.

Beliau turut menasihati pengusaha restoran supaya mematuhi garis panduan ditetapkan dan memastikan kebersihan di premis mereka bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan.

“Semua restoran atau pengusaha makanan memang ada pengawasan secara berkala (daripada KKM) untuk memastikan bukan setakat bahan yang tidak dibenarkan tetapi juga kita buat pengawasan secara berkala bagi memastikan keadaan restoran itu bersih.

“Jadi pengusaha restoran juga perlu menerima vaksin typhoid secara berkala dan perlu mengikuti kursus pengendalian makanan sebelum memulakan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belon Gergasi dan Buku Risalah Jom Hapuskan Aedes di Klinik Kesihatan Greentown, di sini, hari ini.

NSTP Rabu lalu melaporkan sebuah kedai makanan di daerah ini, diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan, selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Sebelum ini, mesej yang mendakwa empat anggota polis ‘sangkut’ ujian saringan awal air kencing selepas makan di sebuah premis di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, tular di aplikasi WhatsApp.

Semalam, pemilik restoran Sultana Nasi Kandar atau lebih dikenali sebagai Nasi Lambai di sini menafikan premisnya diarah tutup oleh KKM dan kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak menularkan tanpa maklumat sahih mendakwa premisnya menggunakan bahan terlarang dalam masakan.

Pemiliknya, Abdul Malik Pakeer Mohamad, 36, berkata, tiada notis penutupan premis yang dikeluarkan pihak berkuasa dan restorannya beroperasi seperti biasa.

Berita Harian X