Ahad, 24 Februari 2019 | 3:52pm
SEORANG wanita yang hamil sebulan didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan pecah amanah dengan menggunakan barangan kosmetik milik syarikat tempatnya bekerja bernilai RM1,564, pada September tahun lalu. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali
SEORANG wanita yang hamil sebulan didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan pecah amanah dengan menggunakan barangan kosmetik milik syarikat tempatnya bekerja bernilai RM1,564, pada September tahun lalu. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali

Wanita hamil didakwa pecah amanah

KOTA BHARU: Seorang wanita hamil didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah menggunakan barangan kosmetik milik syarikat bernilai RM1,564, September tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nur Suehada Kamarozaman, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh yang bekerja sebagai kerani diamanahkan ke atas harta berkenaan iaitu barangan kosmetik milik Farhana Maju Trading, didakwa pecah amanah dengan curang menyalahgunakan harta, menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri dan melanggar kontrak di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai kosmetik berkenaan di Kuala Krai antara jam 10 hingga 5 petang pada 1 hingga 31 September 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak membenarkan tertuduh diberi jaminan, namun tertuduh memohon jaminan dibenarkan kerana mengandung sebulan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X