Ahad, 24 Februari 2019 | 6:25pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Malai Rosmah Tuah
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Malai Rosmah Tuah

Hina Nabi Muhammad: 3 kertas siasatan dibuka

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kertas siasatan itu membabitkan tiga pemilik akaun Facebook, iaitu Foo Sing Wai, 68; Sarkar Tanesan, 21; dan Sally Yen.

Beliau berkata, setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 478 laporan polis diterima terhadap Sing Wai, Sarkar (11) dan Sally (dua).

“Sing Wai ditangkap pada 19 Februari lalu dan direman tiga hari berakhir kelmarin. Disebabkan faktor umur dan komplikasi kesihatan, suspek dibebaskan pada 22 Februari lalu dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, Sarkar pula ditahan pada 21 Februari lalu dan reman terhadapnya dilanjutkan hingga esok untuk membantu siasatan.

“Berhubung kes Sally, pemilik akaun Facebook itu memuat naik status pada 2013 dan sejak itu, kita sudah menerima 16 laporan.

“Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut oleh Pendakwa Raya kerana pemilik akaun tidak dapat dikenal pasti selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pengesahan.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pemilik akaun itu dan pihak yang menularkan ‘posting’ terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat, menyebar atau berkongsi sebarang kenyataan jelik yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama serta kaum di negara ini,” katanya.

Berita Harian X