Isnin, 25 Februari 2019 | 2:39pm
MOHAMED Ezani hadir bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Adib angguk kepala ditanya kena pukul - Saksi

SHAH ALAM: Saksi memberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, difahamkan mengangguk apabila di tanya sama ada dipukul, oleh seorang kakitangan yang memantau mangsa di Institut Jantung Negara (IJN), tahun lalu.

Saksi ke-14, Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, 54, berkata kakitangan institusi perubatan yang dikenali sebagai ‘Asyraf’ ada bertanya Muhammad Adib ketika dirawat di IJN tetapi perkara itu hanya diberitahu kepadanya selepas kematian pesakit.

Ketika disoal Pegawai Pengendali Kes, Faten Hadni Khairuddin berhubung perkara itu, Dr Mohamed Ezani menjawab, beliau diberitahu pada perayaan Krismas yang lalu.

Faten : Apa yang Asyraf beritahu kamu?

Dr Mohamed Ezani : Seingat saya pada perayaan Krismas tahun lalu, Asyraf ada beritahu saya bahawa dia bertanya dengan pesakit (Muhammad Adib) ‘Ingat tak apa yang berlaku?’

Faten : Kemudian, apa reaksi pesakit?

Dr Mohamed Ezani : Asyraf beritahu pesakit hanya mengangguk dan menjawab ‘ingat’. Kemudian Asyraf bertanya lagi ‘kena pukul ke?’ Sekali lagi pesakit angguk kepala.

Dr Mohamed Ezani bagaimanapun berkata beliau meminta kakitangan IJN berkenan supaya melaporkan perkara itu kepada pegawai undang-undang untuk mengetahui prosedur selanjutnya.

Katanya, pada hari kelima atau keenam, beliau ada bertanyakan perkara sama kepada Muhammad Adib, sama ada ingat atau tidak apa yang berlaku pada dirinya, tetapi ketika itu keadaan pesakit masih tidak stabil.

Tambahnya, Pegawai Penyiasat (IO) juga ada datang ke IJN untuk menemuramah pesakit. Soalan sama ditanya tetapi pesakit hanya menggelengkan kepala.

Sementara itu, sepanjang berada di IJN dengan bantuan sistem sokongan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, Muhammad Adib memberikan reaksi positif.

Dr Mohamed Ezani berkata antara reaksi positif pesakit yang boleh beliau simpulkan sepanjang berada dalam rawatan di IJN termasuk boleh mengikut arahan yang diberikan seperti gerakan kepala, tangan dan bahasa isyarat, malah pesakit juga berkomunikasi dengan menulis menggunakan papan putih.

Terdahulu, Dr Mohamed Ezani berkata kematian Muhammad Adib adalah disebabkan mengalami Sindrom Kesukaran Pernafasan Akut (RDS) yang berkaitan dengan kegagalan organ.

“Buah pinggang pesakit belum pulih sepenuhnya manakala jantung dan paru-parunya masih cedera.

“Selain itu, boleh dirumuskan bahawa terdapat objek keras yang dipukul (pada) dada sehingga menyebabkan trauma dada. Tetapi objek keras itu saya tidak dapat beri spekulasi,” katanya.

Muhammad Adib, yang parah dalam kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu itu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa, pada 17 Disember lalu di IJN.

Berita Harian X