Isnin, 25 Februari 2019 | 6:41pm
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood (kanan) memecahkan dinding bilik sebuah rumah urut yang dipercayai menawarkan khidmat seks pada Operasi Banteras Aktiviti Haram 2.0 (OPS BAH 2.0) di sekitar Kuchai Lama hari ini. - Foto BERNAMA

Pusat urut tawar khidmat seks beroperasi di butik pakaian diserbu

KUALA LUMPUR: Taktik sebuah pusat urut yang menawarkan khidmat seks dengan berselindung di sebalik perniagaan butik pakaian terbongkar menerusi operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri 2.0 di Jalan Kuchai Lama, di sini, hari ini.

Dalam operasi yang bermula pada jam 1 tengah hari, anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati pusat urut berkenaan menawarkan khidmat seks dengan pakej serendah RM58 bagi tempoh sejam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood, berkata menerusi serbuan itu, pihaknya menahan lapan wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) berusia antara 22 hingga 30 tahun.

Katanya, tiga GRO itu adalah warga tempatan, manakala lima lagi berasal dari Vietnam yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pegawai DBKL membuat pemeriksaan ketika serbuan di Rumah Urut, Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Operasi Banteras Aktiviti Haram 2.0. - Foto Azhar Ramli

Pekerja wanita warga asing ditahan ketika serbuan di Rumah Urut, Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Operasi Banteras Aktiviti Haram 2.0. - Foto Azhar Ramli

“Sebenarnya, kita serbu lapan pusat urut namun hanya satu daripadanya membawa kepada penemuan GRO.

“Kita juga dapati semua premis itu pernah diserbu sebelum ini namun masih berdegil meneruskan modus operandi tidak bermoral berkenaan.

“Kali ini, kita ambil langkah lebih drastik dengan memotong bekalan air premis terbabit.

“Turut dirampas pelbagai barangan yang digunakan di pusat urut itu termasuk peralatan seks seperti kondom selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mereka,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, hari ini.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Berita Harian X